SMK Cochrane dalam akhbar


Sumber: Utusan Malaysia Online - Kota

Amalan praktik BI di rumah kunci kejayaan


GURU dan sekumpulan pelajar cemerlang SMK Cochrane meraikan kejayaan mereka mencatat keputusan baik dalam STPM 2011 di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ


KUALA LUMPUR 7 Mac - Sentiasa membaca dan berbual dalam bahasa Inggeris menjadi rahsia kejayaan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011, Nicholas Tan, 20, memperoleh keputusan terbaik peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) peringkat pertengahan tahun.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Cochrane itu bersyukur kerana usahanya selama ini akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.

"Saya sentiasa berbual dalam bahasa Inggeris ketika di rumah dan mengulang kaji bagi memantapkan pemahaman tatabahasa dalam bahasa tersebut," katanya ketika ditemui di sekolahnya, dekat sini hari ini.

Nicholas hari ini diumumkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan bagi peperiksaan MUET peringkat pertengahan tahun sempena pengumuman keputusan STPM 2011 yang diumumkan hari ini.

Beliau turut menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak cenderamata sumbangan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Selain kejayaan Nicholas, sekolah itu turut menerima berita gembira apabila dua pelajarnya iaitu Yong Pui Kuan, 20, dan Poon Chun Yau, 20, mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pui Kuan yang tinggal di Taman Maluri, Cheras dekat sini berkata, kejayaannya itu banyak dibantu oleh kaedah pembahagian masa yang dibuatnya untuk belajar dan melakukan aktiviti lain.

"Pembahagian masa itu sebenarnya penting kerana jika kita terlalu fokus kepada pelajaran sahaja, ia akan memberi tekanan, sekali gus menganggu corak pembelajaran dan pemahaman dalam pelajaran," ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Pui Kuan berkata, dia berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Chun Yau berkata, keputusan STPM yang diperoleh ternyata berbaloi dengan usaha kerasnya dalam pelajaran selama ini.

"Saya bukanlah pelajar yang pintar dan disebabkan itu, saya memberi tumpuan penuh sewaktu sesi pembelajaran dan melakukan ulang kaji sebaik pulang ke rumah," jelasnya.

Comments